BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, November 19, 2010

Ledakkan Potensi Diri

Manusia dicipta Allah sebagai makhluk yang cukup hebat. Mempunyai akal yang mampu menjelajah jauh. Mempunyai jasad yang mampu menanggung beban kerja yang berat. Mempunyai jiwa yang cukup halus sebagai deria untuk merasai sesuatu yang tidak mampu dihayati oleh makhluk lain ciptaanNya.

Semua ini kadang-kadang tidak dirasai oleh sebahagian besar dari kita.

Manusia hari ini lebih suka melihat apa yang ada di depan mata tanpa rasa tertarik untuk menyingkap tirai melihat keindahan apa yang ada di sebaliknya. Begitu juga kebiasaannya manusia akan berpada dengan kurniaan yang sedikit yang diperolehinya tanpa ada rasa tamak untuk menghasilkan suatu yang berganda jauh hebatnya dari itu. Manusia mendengar dan menerima dengan mudah dan menuturkan apa yang tersebut oleh lidah tanpa menyusun idea terlebih dahulu.

Tetapi itu semua sebenarnya bukan sifat generasi awal Islam.

Kehebatan yang dicapai Islam ketika menerajui tamadun dunia; rahsianya terletak pada anggota masyarakat Islam yang berjaya meledakkan segala potensi yang ada pada diri masing-masing. Sejarah membuktikan bahawa kehebatan bukan hanya pada ulama’, cendekiawan dan pemerintah, tetapi jauh dari itu kehebatan itu ada juga pada rakyat jelata. Kita tahu kisah penulisan-penulisan karya-karya agung Islam, kita tahu kisah penerokaan bidang-bidang baru yang tidak pernah dikhayalkan oleh akal manusia pada masa itu. Kita juga maklum kisah tentera Islam yang hebat membuka Istanbul sebagaimana kita maklum kisah kembara mereka di seluruh dunia.

Daripada 124,000 sahabat r.a. yang pergi menunaikan haji wida’ hanya 10,000 yang dikebumikan di bumi Hijaz. Yang lainnya? Pemikiran mereka tidak sama dengan pemikiran generasi hari ini; di mana aku dilahirkan di situ aku dikuburkan. Sebaliknya; di mana aku diperlukan di situ jasadku disemadikan. Mengembara, berpisah, mengorbankan harta dan masa, mengetepikan impian peribadi demi menjelmakan impian umat; itu adalah budaya mereka. Sedangkan generasi hari ini; ‘rumahku syurgaku’ dan lain-lain slogan yang menunjukkan kelemahan jiwa.

Alangkah baiknya jika generasi umat Islam pada hari ini membaca kisah-kisah generasi awal agar minda mereka tercabar dan semangat mereka dihangatkan. Jadikanlah apa yang dikurniakan Allah kepada diri kita sebagai modal untuk dilaburkan kembali kepada agamaNya. Ledakkan potensi itu dan hasilkan sesuatu yang boleh disebut dan dijadikan qudwah oleh generasi seterusnya.

Moga Allah memudahkan segalanya. La haula wala quwwata ila biLlah..

Ustaz Muhammad Fauzi under Fikrah Pendakwah

0 comments: